Pendedahan ‘Cik Jah’ mengenai kehidupan terakhir Mona Fandey dalam penjara
ANDA kenal dengan nama Maznah Ismail atau lebih mengenalinya dengan nama Mona Fandey?
Kisah Mona menjadi tumpuan di akhbar sejak tahun 1993. Bahkan, ia
semakin rancak diperkatakan ramai apabila satu persatu kegiatan jahat
pasangan bomoh, Mona dan Affandi sewaktu hidup ketika dahulu didedahkan.
Namun, pernahkah anda terfikir sejauh mana kesahihan cerita yang disebarkan itu?
Adakah anda berani meletakkan jaminan seratus peratus bahawa memang
ternyata Mona mati di tali gantung dengan keadaan mengerikan? atau anda
lebih percaya pada versi cerita yang kononnya Mona tidak mati biarpun
dia telah digantung?
Sejauh mana keyakinan orang ramai percaya 1,001 versi cerita mengenai bekas banduan terakhir di Penjara Wanita Kajang itu?
Membongkar kembali kisah benar Mona di penghujung hidupnya, wartawan
Malaysian Digest berjaya menjejaki pegawai penjara yang berpengalaman
bertugas di sel akhir Mona sewaktu dia dipenjarakan dahulu.
Satu temubual eksklusif bersama Pegawai Penjara Wanita Kajang, Sarjan
Azizah, diatur untuk mendedahkan kepada semua masyarakat Malaysia
perihal kehidupan bekas banduan akhir yang selama ini menjadi rahsia
hidup wanita berusia 53 tahun itu.
Azizah sedia berkongsi kepada umum sisi-sisi rahsia Mona yang mana
dia merasakan satu kenangan manis buat dirinya sepanjang 30 tahun
berkhidmat sebagai warden penjara.
“Masa itu saya sedang bercuti tetapi saya dah tahu yang Mona bakal
ditempatkan di sel akhir bawah jagaan saya. Kes dia memang cukup gempar
pada waktu itu.
“Saya sangat takut apabila dapat tahu saya akan berjumpa dengan Mona sampaikan saya minta air penawar dekat ustaz,
“Sel akhir Mona berada paling depan sekali dan tentulah dia orang
pertama yang akan saya lalui dulu. Waktu saya melangkah masuk pada hari
pertama selepas bercuti, saya dengar ada orang bagi salam.
“Saya tahu itu Mona. Saya buat tak tahu. Hari kedua dan ketiga pun,
saya dengar Mona beri salam lagi tapi tetap saya buat tak tahu,
“Pada hari keempat apabila dia bagi salam, baru saya jawab salam dia.
Mona kata antara ramai-ramai staf di penjara, dia paling suka saya.
Saya tanya kenapa? Dia jawab gerak hati.
“Saya tak pernah sangka seumur hidup saya, dengan ‘salam’ yang
diberikan Mona itu telah menjadikan dia seorang sahabat saya,” katanya.
Tambahnya, Mona merupakan seorang yang sangat gemar berbual. Tidak
pernah kering dengan topik perbualan membuatkan Azizah berasa sangat
senang mendengar cerita-cerita daripada Mona.

Malah, Mona sangat suka bercerita mengenai anak-anaknya, bekas suami, suami kini, resepi masakan dan banyak lagi.
Hanya Azizah sahaja yang ketika itu tidak gentar bersua muka dan
bertentang mata dengan wanita yang dikatakan memiliki ilmu kesaktian
luar biasa itu.
Kebanyakkan kakitangan penjara ketika itu, rata-ratanya berusaha
untuk mengelak daripada menguruskan rutin harian Mona kerana bimbang
dengan ‘ilmu hitam’ dimilikinya.
“Saya panggil Mona ‘Makcik’ dan dia panggil saya ‘Cik Jah’. Percaya
atau tidak, Mona ni sebenarnya seorang wanita yang sangat menjaga solat
lima waktu.
“Bukan itu saja, solat sunat dan wirid juga tidak pernah
ditinggalkannya, Setiap hari saya dengar Mona mengaji al-Quran sehingga
saya sendiri rasa terpegun.
“Waktu dia baca wirid pula, saya pernah minta dia kuatkan suara
kerana saya bimbang dia membaca bacaan yang ‘salah’. Apa yang saya
dengar adalah perkataan ‘Subhanallah’ yang tidak berhenti keluar dari
mulut Mona,
Sarjan Azizah (kiri) bersama Mona Fandey
“Mona seorang wanita yang sangat sopan apabila bercakap. Dia sangat
peramah tetapi masih menjaga adab dalam percakapannya. Sebaik-baik Mona
apabila berbual, tidak pernah sekalipun dia bercakap buruk mengenai
orang,
“Walaupun pada ketika itu kakitangan penjara ramai yang mengatanya
tetapi Mona sangat sabar dan positif. Tak pernah dia nak membalas atau
memburukkan orang,
“Mona sangat suka berkongsi resepi masakan dengan saya. Dia kata dia
suka letak daun pandan dalam masakan sebab akan jadi wangi. Saya nampak
dia seorang yang penyayang dan ikhlas,” katanya.
Pernah beberapa kali Azizah terbaca cerita mengenai Mona di akhbar
seperti, Mona terapung di dalam sel, Mona boleh membaca Surah Al-Fatihah
dengan terbalik, Mona dilihat keluar dari sel oleh salah seorang
kakitangan penjara dan bersiar-siar di Chow Kit dan banyak lagi.
Demi mendapatkan kepastian, Azizah akan terus bertanya kepada Mona mengenai cerita-cerita mistik yang dibacanya.
“Saya suruh Mona apungkan badan dia macam dalam suratkhabar laporkan. Mona kata gila ke apa? Mana dia boleh apungkan diri dia.
“Kemudian saya suruh dia baca Surah Al-Fatihah terbalik. Mona jawab,
sedangkan nak baca bismillah terbalik pun susah apatah lagi Surah
Al-Fatihah,
“Paling menarik, saya pernah tanya pada Mona betul ke dia keluar sel
dan ke Chow Kit? Mona jawab, kalau dia boleh keluar sel buat apa dia nak
ke Chow Kit? Baik dia balik ke rumah dan tak perlu masuk ke dalam sel
lagi.
“Namun, apabila kita fikirkan balik, apa yang dikatakan Mona itu
benar. Kalau betul dia ada kuasa yang boleh memboloskan diri dari
penjara, lebih baik dia pulang ke rumah dari ke Chow Kit,” seloroh
Azizah sambil tersenyum.
Seketika Azizah terdiam, kemudian menyambung semula ceritanya.
Dia akui terdapat satu cerita di sebalik kes ini yang tidak diketahui
umum. Barangkali yang tahu sekalipun, mereka yang terlibat secara
langsung sepanjang tempoh perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan ini.
Ujarnya, Mona sering meyakinkannya mengenai kejadian sebenar yang
berlaku pada tarikh pembunuhan ahli politik itu dan Azizah akui pada
awalnya sukar untuk mempercayai kata-kata Mona.
Namun, ternyata Mona berjaya membuktikan kepada Azizah bahawa dia
tidak menipu kerana kenyataannya di penjara dan mahkamah begitu
konsisten sekali. Tiada perubahan cerita, tiada perubahan fakta. Mona
kelihatan begitu tenang menghadapi perbicaraan kesnya itu.
Tahukah kita semua bahawa sebenarnya Mona bukan suspek utama kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris?
Dia merupakan OKT-3 (Orang Kena Tuduh Ketiga) manakala dalang sebenar
kes pembunuhan ini adalah OKT-1 dan OKT-2 yang merupakan suami Mona
sendiri, Affandi dan pembantu peribadi mereka, Juraimi.
OKT-1
OKT-2
Hakikatnya, pada hari kejadian mangsa dibunuh kejam Mona sekadar
mendapat arahan daripada Affandi untuk keluar memetik bunga sebelum satu
upacara mandi bunga bersama mangsa dijalankan.
Mona duduk di atas bahagian kepala mangsa yang berada dalam posisi
baring kemudian secara tiba-tiba Juraimi meluru masuk dan… (Azizah
terdiam)
“Saya berada sepanjang prosiding mahkamah berlangsung kerana atas
permintaan Mona sendiri, dia tidak mahu pegawai lain yang mengiringinya.
“Jadi, tangan saya akan digari bersama tangan Mona ke mana sahaja.
Mona telah terbukti tidak bersalah dalam kes pembunuhan ini dan dia
telah dibebaskan oleh pihak mahkamah.
“Namun, Mona terpaksa memberi kata dua pula terhadap pembebasannya
itu. Jika dia dibebaskan, dia mahu Affandi juga dibebaskan. Jika
suaminya digantung, biarkanlah dia digantung bersama Affandi,
“Peguambela Mona juga pernah memujuknya untuk menerima pembebasan itu
tetapi tetap ditolak Mona tanpa pembebasan Affandi bersama. Itu pilihan
Mona.
“Dia nak bersama suaminya. Saya nampak Mona seorang isteri yang
sangat baik dan sayangkan Affandi. Secara jujurnya, selama saya menjaga
Mona di sel akhir saya sendiri gagal menemui kejahatan dari dalam
dirinya,
“Saya masih ingat satu cerita dimana orang yang dipertanggungjawabkan
untuk menguruskan jenazah Mona selepas digantung menyatakan dia sendiri
tidak tahu dimana nak mencari cacat cala pada jenazahnya kerana Mona
meninggal dengan keadaan sangat baik. Tubuh yang bersih dan mudah
diuruskan,” ujarnya lagi kepada Malaysian Digest.

Menariknya,
bekas suami Mona yang juga merupakan seorang anggota polis tidak pernah
terlepas daripada menghadiri perbicaraan kes bekas isterinya itu.
Kehadiran bekas suami Mona tanpa jemu ke mahkamah membuatkan Azizah
tertarik untuk mendekati lelaki itu.
Apa yang mengharukan hatinya apabila bekas suami Mona menjawab:
‘Mona nak bunuh semut pun tak sampai hati. Waktu nak siang ikan pun dia menangis, apatah lagi nak kerat manusia.”
Bahkan, anak-anak Mona juga sentiasa hadir dalam perbicaraan ibu
mereka sebagai tanda memberi sokongan kepada Mona. Anak-anak Mona pernah
menyatakan bahawa mereka lebih mengenali siapa ibu mereka yang sebenar.
Disitu Azizah mengakui Mona merupakan seorang ibu yang berjaya
membentuk keperibadian serta akhlak yang tinggi dalam diri anak-anaknya.
Mereka sangat mentaati Mona biarpun ibu mereka itu bakal berhadapan
dengan hukuman gantung sampai mati dan menelan stigma masyarakat kita
yang sentiasa negatif sehingga ke hari ini.
Kerana cintakan suami, si isteri mengorbankan kebebasannya biarpun
sudah terbukti tidak bersalah. Begitu juga, kerana kasihkan suami, Mona
memilih untuk sehidup semati di tali gantung bersama Affandi.
“Saya pelik macam mana orang luar yang tak pernah masuk penjara, tak
pernah jumpa Mona atau menguruskan halnya selama dia dipenjara, lebih
banyak bersuara seperti mengetahui segala-galanya berbanding saya yang
bersama Mona siang dan malam?
“Saya sampai tarik kerusi duduk depan sel Mona untuk teman dia berbual, orang lain lagi mengetahui selok belok hal Mona?
“Benda yang paling saya sedih sekali, sehari sebelum Mona digantung
saya nampak dia dibawa turun dari tingkat atas ke bawah. Muka dia nampak
ceria sangat. Senyum tak sudah! Saya tanya Makcik nak kemana?
“Mona jawab dia nak pergi ‘shopping’! Sebenarnya, dia dapat jumpa
Affandi dipenjara sebelah, Sampai pusing di ‘corner’ bangunan, saya
nampak dia toleh dekat saya dan tersenyum biarpun kedua tangannya
bergari.
“Saya sendiri terlupa hari itu adalah hari Khamis, dimana banduan
beragama Islam akan digantung pada pagi Jumaat. Itupun kawan saya yang
juga baik dengan Mona beritahu, Mona dah nak digantung esok,
“Saya terduduk dan menangis tak berhenti. Itulah kali terakhir saya
jumpa Mona dan saya sampai sekarang tak dapat lupa senyuman dia.
Jelas Sarjan Azizah, cerita-cerita mistik dilaporkan media hanyalah rekaan semata-mata.
“Kalau saya tahu dia akan digantung, tentu sekali perkara yang nak
saya buat adalah memeluk Mona. Saya kenal siapa Mona Fandey. Saya
terlalu rindukan dia,” katanya dan pada saat itu Azizah menitiskan air
matanya.
Ujarnya, Mona tidak seperti banduan akhir yang lain. Keikhlasan yang
ada dalam diri Mona benar-benar dapat dirasai Azizah. Kenakalan Mona
yang sering mengusik kakitangan penjara yang lemah semangat dan gemar
mengatanya kadang kala membuatkan Azizah tersenyum sendirian tatkala
teringatkan kenangannya menjaga sel akhir Mona.
Sehingga hari ini, Azizah tetap setia menyimpan kenangan manis
bersama seorang wanita yang amat ‘digeruni’ rakyat Malaysia dan
‘kononnya’ pembunuh paling kejam di Malaysia.
Biarpun berstatus banduan akhir yang telah digantung, Mona tetap
mempunyai ruang istimewa di hati Azizah dan dia percaya Allah lebih
mengetahui dimana kedudukan yang selayaknya buat insan semurni
Allahyarhamah Maznah Ismail.
Ternyata setiap manusia tidak terlepas dari membuat kesilapan sewaktu
hidup. Bahkan, urusan pahala dan dosa bukanlah selayaknya diadili oleh
manusia lebih-lebih melibatkan aibnya sewaktu hidup.
Memetik kata Ustaz Abdul Rasyid yang sudah berpengalaman lebih tiga dekad mengendalikan hal ehwal agama banduan:
“Alhamdulillah, Mona mengucap dengan fasih siap dengan terjemahan
sekali. Pada sayalah, dia tahu waktu dia nak mati. Balasan dunia dia dah
terima. Dengan Tuhan, kalau Tuhan terima taubat dia, mungkin dia jauh
lebih baik dari kita semua.” – Sumber Arkib Negara : Mona Fandey.
Apakah dengan tulisan ini mampu mengubah stigma anda pada wanita
bernama Mona Fandey supaya diletakkan dalam ruang yang adil berdasarkan
kebaikannya sewaktu hidup dahulu?
Atau anda lebih selesa untuk terus memahami ‘cakap-cakap’ orang
mengenai kejadian yang berlaku kerana sudah dididik dengan ‘trend’
bahawa Mona Fandey adalah pembunuh paling kejam di Malaysia?
Anda pilih.