|
Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang undang kerajaan
sesuatu tempat. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini dinamakan
penjenayah. Antara kes kes jenayah yang pernah berlaku dalam negara kita
yang aman ini adalah seperti rompakan, rogol, penyeludupan senjata api,
kegiatan kongsi gelap dan pembunuhan yang mengerunkan. Pasti korang
tahu pasal kes kes jenayah dan penjenayah yang tersebar luas dalam media
massa. Sejak zaman dulu pun dah ada penjenayah. Tak tahu la sama ada
korang kenal atau tidak (penting ke kenal diaorang? ada masuk dalam SPM
subjek "Sejarah" ke?) Yang pasti, hari ni aku nak kongsikan cerita pasal
penjenayah penjenayah yang pernah fofular sewaktu ketika dulu.
1. Botak Chin
Wong Swee Chin adalah nama sebenarnya. Botak Chin tidaklah berkepala
botak sebaliknya nama itu adalah gabungan perkataan BO TAK CHIN dalam
bahasa hokkien membawa maksud Tiada (BO) Kerja (TAK) CHINA (Chin) atau
'jobless chinese'. Pada tahun 1967, Botak Chin mula terbabit dalam
kumpulan Geng 360 di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah seperti merompak
dengan menggunakan senjata api yang dirampas oleh kumpulannya atau
dibeli di Thailand dengan menggunakan wang hasil dari rompakkannya. Pada
September 1969, dia mula menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan
rompakan pada bulan itu tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara
tujuh tahun. November 1974 selepas dibebaskan dari penjara dia memulakan
kehidupan baru sebagai sebagai penjual sayur tidak ianya langsung tidak
memuaskan hatinya. Oleh itu, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan
geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin
(Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai). Kegiatan rompakan oleh mereka
semakin aktif seperti di pusat perjudian haram di Sentul, sebuah bank
di Jalan Imbi Kuala Lumpur, kuil Cina di Jalan Kolam Ayer Kuala Lumpur,
sebuah bar di Sentul, di Kelab Kereta api Sentul dan juga di Kelab Lumba
Kuda sekitar Kuala Lumpur. Segala hasil rompakan digunakan untuk
membeli lapan senjata api dan peluru di Thailand. Kedudukannya sebagai
ketua mula terancam oleh anggotanya sendiri, Ah Wong, dan Ketua Geng
Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek. Kedua dua mereka ditemui mati ditembak di
kawasan lombong tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, pula mati
membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor. Awal 1976 Botak
Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan wang yang
dilarikan kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh orangnya mati
ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga berjaya merampas senjata
api, peluru dan bom. Pada 22 November 1975, kejadian berlaku di malam
hari. Sebuah kereta Datsun hijau yang dinaiki oleh Botak Chin dan ahli
gengnya yang lain mengekori rapat sebuah kereta yang dinaiki oleh
pegawai kanan polis, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam. Pegawai berkenaan
adalah sasaran mereka. Setiba di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan
Pekeliling, kereta Datsun berkenaan bergerak pantas menghampiri
kenderaan yang mereka ekori. 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’
DSP S Kulasingam. Dentuman demi dentuman dilepaskan hingga mengejutkan
orang ramai di sekitar kawasan berkenaan. Matlamat kumpulan lelaki itu
hanya satu iaitu membunuh seorang pegawai kanan polis di tempat terbuka.
Bagaimanapun, tindakan ‘gila’ penjenayah itu gagal berikutan hanya satu
das tembakan mengenai Kulasingam. Sebaliknya pegawai polis itu masih
berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi itu.
Keesokannya, terpampang pada dada akhbar bahawa cubaan membunuh itu
gagal. Serangan mengejut terhadap Kulasingam menyebabkan pihak polis
bertekad untuk menahan dan membasmi jenayah pemuda itu. Satu pasukan
khas ditubuhkan polis. Beberapa pegawai polis yang pakar memburu
penjenayah daripada beberapa ibu pejabat polis daerah dipanggil
menganggotai pasukan itu dan tugas mereka adalah menjejak pergerakan
geng Botak Chin. 16 Februari 1976, episod akhir pemburuan polis membawa
mereka ke sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Polis mula
mengepung kilang berkenaan dan menunggu kemunculan Botak Chin. Sebuah
kereta Mazda putih masuk ke kawasan kilang. Sebaik berhenti, tiga lelaki
keluar daripada kereta itu dan seorang daripada mereka ialah suspek
buruan, Botak Chin. Penjenayah ganas itu lengkap bersenjata selain
memiliki dua bom tangan. Langkah dan perlakuan seperti biasa meyakinkan
pihak polis bahawa kumpulan penjenayah terbabit tidak menyedari
kehadiran mereka. Dengan pantas pihak polis bertindak, empat pasukan
menggempur masuk ke kawasan kilang dan berlakulah pertempuran antara
penjenayah dan polis, masing masing melepaskan tembakan. Botak Chin
ditembak pada kaki dan tangan kanan. Manakala pengikut pengikutnya yang
lain telah mati ditembak. Babak keganasan penjenayah itu berakhir
apabila Botak Chin yang berada dalam keadaan tersepit menyerah diri
dalam operasi penuh bahaya itu. Botak Chin ditahan selama setahun
sebelum mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan
mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada
hukuman mati mandatori. Ketika menunggu dihukum gantung, Botak Chin
terus menunjukkan sikap ganasnya apabila menyerang dan mencederakan
pegawai penjara termasuk menggunakan senjata tajam sebanyak dua kali.
Botak Chin dihukum gantung sampai mati pada 11 Jun 1981 di Penjara Pudu,
Kuala Lumpur.
2. Bentong Kali
Penjenayah yang amat dikehendaki sekitar awal tahun 1990 an. P.
Kalimuthu atau digelar Bentong Kali (tempat asalnya) terkenal dengan
sikap barannya yang suka membunuh orang ramai secara sesuka hati.
Puluhan orang awam tidak bersalah menjadi mangsa tanpa sebarang sebab
disamping turut terlibat dengan aktiviti dadah dan rompakan.
Keganasannya amat melampau hingga beliau masih membunuh orang awam walau
ketika polis telah melancarkan operasi seluruh negara untuk
menangkapnya yang dikenali sebagai 'Ops Buncit'. Rekodnya adalah 16 kes
pembunuhan sehingga polis menawarkan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa
yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu.
Penjenayah mula terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 14 tahun
iaitu selepas dia meninggalkan alam persekolahan pada tingkatan satu. P.
Kalimuthu menyertai Kumpulan kongsi gelap Cina 04. Pernah dipenjara
ketika usia 19 tahun tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu. Namun
ianya tidak menginsafkan Kalimuthu sebaliknya kira-kira empat tahun
selepas dibebaskan, dia kembali bergelumang dengan dunia jenayah dengan
menyertai kumpulan kongsi gelap India 08. Bersama kumpulan haram dan
rakan penjenayah baru, Kalimuthu aktif mencabar undang undang sekitar
ibu kota iaitu di Brickfields, Segambut, Sungei Way dan Ampang. Ditahan
semula pada Julai 1985 mengikut Ordinan Darurat serta pernah di
tempatkan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang tetapi dibebaskan pada tahun
1987. Peluan kedua yang diberikan langsung tidak dihiraukannya. Kali ini
dia menubuhkan kumpulan kongsi gelap 04 yang tertumpu di Jalan Klang
Lama, Kuala Lumpur. Kegiatan yang mereka lakukan adalah seperti mengedar
dadah. dan untuk kesalahan itu, Kalimuthu ditahan lagi pada April 1990
dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya. Bagaimanapun, dia terlepas
daripada hukuman apabila bukti tidak cukup untuk mensabitkan
kesalahannya. Pada 1991, Kalimuthu dikatakan mula mengganas kembali
dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan sehingga menyebabkan polis
mula melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 untuk menghentikan keganasan
lelaki itu. Polis mengklasifikasikan profil lelaki itu sebagai bukan
pembunuh upahan sebaliknya Bentong Kali yang bergerak bersama
pengikutnya sekadar melakukan pembunuhan demi pembunuhan mengikut
kehendak nafsu mereka. Antara pembunuhan yang dilakukan adalah dengan
melepaskan tembakan rambang dalam satu majlis sambutan hari lahir
menyebabkan 2 orang maut di tempat kejadian. Juga melepaskan sedas
tembakan ke atas seorang penjual roti canai kerana menegur tindakan
kurang ajar Bentong Kali yang kencing berhampiran rumahnya. Semua
jenayah berlaku di kawasan perumahan Taman Tanming Jaya. Ini dikaitkan
dengan Bentong Kali kerana penjenayah itu turut menyewa selama tiga
bulan di Taman Tanming Jaya sebelum melarikan diri. Tindakan P.
Kalimuthu menyebabkan penduduk di taman itu hidup dalam ketakutan. Ada
antara mereka yang berpindah buat sementara waktu ke kawasan lain kerana
khuatir menjadi mangsa seterusnya. Terbabit juga dalam kejadian
pembunuhan seorang lelaki dan mencederakan seorang lelaki lain di
Kampung Sungai Tepi, Jalan Klang Lama. Penemuan bukti kelongsong peluru
9mm dari pistol Sig Sauer menyebabkan polis mengesyaki pembabitan P.
Kalimuthu atau Bentong Kali dalam kejadian siri pembunuhan berkenaan.
Pencarian pihak berkuasa kemudian berhasil apabila Bentong Kali
dikatakan keluar dari persembunyiannya dipercayai untuk mencari seorang
bekas konconya di Jalan Klang Lama. Intipan polis kemudian membawa
kepada serbuan di markas persembunyian lelaki itu di sebuah rumah teres
dua tingkat di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada 29 Jun 1993. Drama
tembak menembak berlaku dan akhirnya penjenayah dan tiga lagi rakannya
berjaya ditembak mati oleh polis.
3. Mona Fandey
Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey, adalah seorang
penyanyi pop, dukun, dan pembunuh dari Malaysia. Dia disabitkan
melakukan jenayah berat dengan terbabit dalam kes pembunuhan seorang
ahli politik, Mazlan Idris, pada tahun 1993. Kerjayanya sebagai penyanyi
pop tidak bertahan lama, namun ia masih berjaya menghasilkan satu
album. Selepas itu, Mona mula terlibat dalam kegiatan sihir spiritual
yang dikenali sebagai bomoh atau dukun tempatan. Dia menawarkan
perkhidmatannya kepada pelanggan dan sebahagian besarnya daripada
masyarakat kelas atasan termasuk ahli ahli politik. Dikhabarkan bahawa
Mazlan Idris, seorang ahli politik Adun Batu Talam, Pahang, telah
berjumpa dengan Mona untuk mendapatkan perkhidmatan darinya. Mazlan
Idris pernah menuntut di Amerika Syarikat dan merupakan seorang ahli
politik hebat dan berkuasa dari United Malays National Organisation
(UMNO) parti. Pada saat itu, Mona bekerja dengan suaminya Mohamad Nor
Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka Juraimi Hassan. Mona dan
suaminya berjanji untuk membantu Mazlan dengan memberinya beberapa
"benda" yang sama dimiliki oleh bekas Presiden Sukarno demi meningkatkan
dan mengekalkan kekuasaannya. Mona menuntut RM 2.5 juta daripada Mazlan
sebagai bayarannya. Oleh itu Mazlan telah membayar kepada pasangan
tersebut dengan sejumlah wang RM 500,000 sebagai deposit dan memberi
mereka 10 sijil tanah sebagai jaminan untuk sisa RM 2 juta. Satu
perjanjian telah dibuat diantara mereka untuk melakukan pembersihan
ritual yang akan dilakukan di rumah Mona. Mazlan disuruh berbaring di
lantai sementara Mona menaburkan kelopak kelopak bunga kepadanya. Dia
kemudian menyuruh Mazlan untuk menutup mata dan menunggu wang untuk
"jatuh dari langit". Dengan sepantas kilat, Juraimi menghayun sebilah
kapak menghentak Mazlan dan dicincangkan nya seluruh anggota badan
Mazlan. Mayat Mazlan ditemui oleh polis pada 22 Julai 1993 dimana
anggota tubuhnya dipisahkan dalam 18 bahagian yang dikebumikan di sebuah
gudang dekat rumah Mona di Pahang. Mazlan dilaporkan hilang pada tarikh
2 Julai 1993 selepas menarik RM 300,000 dari bank. Setelah pembunuhan
itu, Mona dilaporkan telah membelanjakan wang yang diterimanya dengan
membeli sebuah Mercedes-Benz. Namun demikian, sepandai pandai tupai
melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Mona, suaminya, dan Juraimi
akhirnya ditangkap dan diadili di Mahkamah Tinggi Temerloh. Sepanjang
persidangan, Mona memperlihatkan perilaku aneh termasuk muncul ceria,
terus tersenyum dan berpose untuk photographer wartawan. Dia berpakaian
mewah dengan design yang cerah dan berwarna warni pada gaun. Dia juga
berkata, "saya seperti mempunyai ramai peminat". Mona juga dilaporkan
pernah mengucapkan kata kata "Aku Takkan mati" dan masih tenang dan
tersenyum. Mahkamah Tinggi mendapati mereka bertiga bersalah dan
menghukum mereka gantung sampai mati. Mona, Affandy, dan Juraimi
akhirnya digantung pada tarikh 2 November 2001 di Penjara Kajang.
4. Hanafi Mat Hassan
Hanafi Mat Hassan, 38 tahun, seorang pemandu bas ekspres Kiara telah
melakukan dua jenayah besar, rogol dan bunuh, di dalam basnya sendiri
yang bercermin gelap. Mangsa, Noor Suzaily Mukhtar, seorang jurutera
komputer dirogol oleh Hanafi pada 7 Oktober 2000 antara waktu 8.50 pagi
di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15 pagi di sebatang jalan
di kawasan projek pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang. Selepas dirogol,
mangsa dibunuh kejam. Hanafi yang berasal dari Bachok, Kelantan didakwa
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori
dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum
20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. Perogol telah menjalani
hukuman gantung sampai mati di Penjara Kajang selepas subuh dan mayatnya
dibawa ke Hospital Kajang sebelum dituntut keluarganya untuk dibawa
pulang ke Binjai, Kelantan. Jenazahnya kemudian dikebumikan di tanah
perkuburan Kampung Kubur Datu, Binjai.
5. Geng Azhar
Geng Azhar Kastam merupakan kumpulan penjenayah yang beroperasi di
Malaysia. Pada 3 Januari 2009, 10 suspek menyamar sebagai pegawai kastam
dan polis lalu menyerbu sebuah bengkel kereta di Selat Selatan,
Pandamaran, Pelabuhan Klang , Selangor. Kononnya mahu melakukan
pemeriksaan ke atas kenderaan yang terdapat di situ. Suspek membawa
keluar dua buah kereta iaitu Subaru Impreza dan BMW dengan alasan kedua
dua buah kenderaan tersebut perlu menjalani pemeriksaan rekod oleh
kastam. Pemilik bengkel dikatakan diminta membayar wang sejumlah
RM50,000 untuk dua kereta itu sekiranya mahu menyelesaikannya di luar.
Pada 7 Januari 2009 jam 4.00 petang, seorang suspek lelaki berjaya
ditangkap di Plaza Tol Batu 11, Kajang yang membawa kepada tangkapan 10
lagi ahli kumpulan berkenaan di Cheras dan Ampang pada 8 Januari 2009.
Semua suspek berusia dalam lingkungan antara 27 hingga 48 tahun. 8
lelaki dan 3 wanita.
6. Prebet Adam
Prebet Adam merupakan seorang askar melayu pada sesuatu masa yang lalu.
Peristiwa amukan Prebet Adam pada tahun 1987 sebenarnya berpunca
daripada kematian adik kesayangannya. Adik Prebet Adam merupakan seorang
‘Caddy’ atau penolong pemain golf (individu yang bertanggungjawab
mengangkat segala batang golf) kepada Sultan Johor pada ketika itu.
Dikhabarkan, pada suatu hari, ketika sultan Johor sedang bermain golf,
adik Prebet Adam ini telah tertawa kecil melihat bola golf Sultan Johor
ini yang tidak masuk lubang pada jarak sejangkal. Terkenal dengan sifat
panas baran beliau, Sultan Johor ini lantas bertindak balas dengan
menghayunkan kayu golfnya yang keras itu kepada adik Prebet Adam
tersebut. Dan secara tidak diduga, adik Prebet Adam mati ditempat
kejadian. Disebabkan pada ketika itu raja raja Melayu masih mempunyai
kuasa kekebalan, maka pembesar tersebut telah terlepas begitu sahaja
tanpa ada sebarang tindakan undang undang. Sampai sahaja ke pengetahuan
Prebet Adam, maka mengamuklah dia. Pada malam 18 oktober 1987, Prebet
Adam telah mengamuk di jalan Chow Kit dengan membawa bersama senjata
M-16 nya. Prebet Adam telah menembak secara melulu ke arah orang ramai
kerana berang dengan kezaliman terhadapnya dan bagi menarik perhatian
seluruh negara. Dia lari sambil menembak membuta tuli dan telah terkena
seorang cina di hadapan Hankyu dan seorang melayu di hadapan Batu Road
Supermarket. Esoknya, sejarah tercipta apabila Chow Kit sunyi dan
lenggang apabila seorang pun tidak dibenarkan masuk ke Chow Kit kerana
keadaan tegang tersebut. Penembak tepat polis telah ditempatkan di
merata bangunan di situ bagi mengesan Prebet Adam namun gagal. Prebet
adam dikatakan telah menyorok disebuah reban ayam milik salah seorang
penduduk Kampung Baru. Tuan punya reban ayam tersebut yang menyedari
kehadiran Prebet Adam tersebut telah melaporkan kepada polis. Namun,
setelah dikepung oleh polis, Prebet Adam tetap enggan menyerahkan diri.
Dengan kehadiran bos Prebet Adam yang berpangkat kolonel atau jeneral,
akhirnya telah berjaya memujuk Prebet Adam untuk menyerah diri. Bagi
mententeramkan situasi negara pada ketika itu, Prebet Adam telah dicaj
tidak siuman dan telah dimasukkan ke hospital bahagia di sebuah wad khas
di Tanjung Rambutan. Sultan Johor tersebut pula terlepas dari hukuman
setelah ayahandanya memohon maaf bagi pihak anaknya.
7. Ahmad Najib
Ahmad Najib Aris, 33 tahun, bekas pencuci kabin kapal terbang pasrah dan
reda setelah hakim mengekalkan keputusan hukuman gantung sampai mati ke
atasnya. Walaupun Ahmad Najib masih boleh merayu kepada Lembaga Jemaah
Pengampunan Selangor sebagai usaha terakhir, namun ianya jarang dapat
menyelamatkan pesalah daripada hukuman tali gantung. Kisah bermula dari
sebuah parti keraian. Canny Ong Lay Kian, 28 tahun, menghadiri majlis
makan malam bersama kawan kawannya dan ahli keluarga yang lain pada hari
Jumaat 13 Jun 2003. Ibu Canny, Pearley Viswanathan dan kakaknya Elsie
juga turut hadir ke majlis itu. Kereta mereka diparkir di tempat letak
kereta dalam pusat beli belah Bangsar yang menempatkan Restoran Monte,
lokasi parti tersebut. Pada 10.30 malam, Canny bersama kakak dan ibunya
hendak pulang ke rumah. Ketika hendak membayar tiker parking di mesin
tiket, mereka baru perasan yang tiket tersebut tertinggal dalam kereta.
Jadi Canny pergi bersendirian mendapatkan tiket kereta itu. Dari situlah
permulaan kisah yang membawa kepada kematian Canny. Kamera litar
tertutup di bangunan tersebut menunjukkan bahawa kereta Proton Tiara
milik ibu Canny dipandu laju dan merempuh penghadang laluan keluar.
Sebelum Canny dirogol, Ahmad Najib mengakui mengacu pisau kepada mangsa.
Tertuduh dalam pengakuannya menganggap hubungan seks dengan Canny
adalah atas kerelaan mangsa. Bagaimanapun, perbuatan Ahmad Najib
mengeluarkan sebilah pisau ditafsir mahkamah sebagai tindakan mengugut
bagi membolehkan Ahmad Najib merogol mangsa. Bukti paling kukuh yang
menuduh Ahmad Najib sebagi pesalah adalah apabila ujian DNA terhadap
sepasang seluar jeans yang dipakai Ahmad Najib akhirnya didapati
mengandungi percikan darah Canny dan ianya cukup kuat bagi membuktikan
dia bertanggungjawab membunuh mangsa.
|
|
No comments:
Post a Comment